Site icon TechNave BM

Samsung lancarkan sensor kamera ISOCELL JN1, sensor 50MP terkecil dalam dunia

Samsung hari ini telah melancarkan sensor kamera terbaru iaitu Samsung ISOCELL JN1 yang dilengkapi teknologi ISOCELL 2.0, Smart ISO dan auto-fokus Double Super PDAF. Ia juga merupakan sensor 50MP terkecil dalam dunia, dengan saiz satu piksel sekecil 0.64 mikrometer (μm) sahaja.

Samsung mengatakan sensor ini mempunyai sensitiviti cahaya yang lebih tinggi sebanyak 16%. Untuk situasi malap pula, sensor ini menggunakan teknologi pixel binning Tetrapixel empat-ke-satu yang menggabungkan empat piksel 0.64μm kepada piksel bersaiz 1.28μm dan menjadikan jumlah megapiksel kepada 12.5MP bagi meningkatkan sensitiviti cahaya.

Dengan saiz yang kecil, ia boleh digunakan sebagai sensor kamera hadapan untuk kualiti swafoto yang lebih jelas. Selain itu, ia juga boleh mengecilkan saiz lubang punch-hole atau takuk notch yang menempatkan kamera swafoto sebanyak 10% bagi mengurangkan gangguan pada skrin telefon pintar.

Ia turut dilengkapi teknologi Smart ISO yang menetapkan kadar ISO dalam setiap situasi pencahayaan dengan lebih tepat manakala Double Super PDAF pula menawarkan titik autofokus yang lebih banyak sebanyak dua kali ganda. Sensor kamera ini menyokong rakaman resolusi 4K pada kadar 60 bingkai sesaat (fps) dan juga resolusi Full HD pada kadar sehingga 240fps.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki telefon dengan sensor kamera ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung

Exit mobile version