Samsung Malaysia nampaknya mula memberi bayangan bahawa acara Galaxy Unpacked seterusnya mungkin semakin hampir. Baru-baru ini, mereka mula mengedarkan e-voucher bernilai RM700 kepada pengguna menerusi aplikasi Samsung Members yang biasanya menjadi petanda pelancaran produk Galaxy generasi baharu.
Berdasarkan jadual pelancaran tahun lalu, Samsung dijangka mengadakan acara Galaxy Unpacked sekitar Julai ini. Antara peranti yang dijangka diperkenalkan termasuk Samsung Galaxy Z Fold 8, Galaxy Z Flip 8, Galaxy Watch 9 dan mungkin juga Galaxy Watch Ultra 2. Terdapat juga khabar angin mengenai sebuah model baharu yang dikenali sebagai Galaxy Z Fold Wide, namun setakat ini Samsung masih belum mengesahkan sebarang maklumat rasmi.
Ramai peminat berharap Samsung akan memberi tumpuan kepada dua perkara utama iaitu kapasiti bateri dan sistem kamera. Walaupun Galaxy Z Fold 7 dan Galaxy Z Flip 7 sebelum ini hadir dengan reka bentuk yang sangat nipis, pengguna masih mengharapkan peningkatan bateri yang lebih besar termasuk kemungkinan penggunaan teknologi bateri silikon karbon yang semakin popular dalam kalangan pengeluar telefon pintar.
Seperti kebiasaan, Samsung juga dijangka akan memperkenalkan lebih banyak ciri kecerdasan buatan (AI) menerusi Galaxy AI. Selain fungsi AI sedia ada, terdapat spekulasi bahawa Samsung mungkin memperkenalkan ejen AI yang lebih pintar dan mampu melaksanakan lebih banyak tugasan secara automatik untuk pengguna.
Bagi yang berminat mendapatkan e-voucher tersebut, Samsung Malaysia memaklumkan ia boleh ditebus menerusi aplikasi Samsung Members dan sah digunakan sehingga 4 Oktober 2026. Cara menebus e-voucher RM700 adalah seperti berikut:
- Buka aplikasi Samsung Members
- Pilih bahagian Carousel atau tab Benefits
- Tebus e-voucher RM700 yang ditawarkan
Selain e-voucher RM700 untuk peranti Galaxy baharu, pengguna turut berpeluang mendapatkan e-voucher tambahan termasuk RM200 untuk jam pintar serta baucar rujukan rakan yang menawarkan diskaun tambahan bagi produk terpilih. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

