Site icon TechNave BM

Samsung mungkin akan lancarkan Galaxy Z Fold5 dan Galaxy Z Flip5 seawal Julai 2023

Telefon lipat Samsung merupakan antara peranti yang paling dinanti-nantikan pada setiap tahun, dan untuk 2023 syarikat itu dijangka bakal memperkenalkan Samsung Galaxy Z Flip5 dan Samsung Galaxy Z Fold5.

Syarikat teknologi Korea Selatan itu kini dikhabarkan bakal melancarkan dua telefon tersebut dalam acara Galaxy Unpacked yang akan dianjurkan pada minggu terakhir dalam bulan Julai 2023. Ini adalah lebih awal daripada jadual pelancaran produk yang sering diamalkan oleh Samsung pada tahun-tahun sebelum ini, di mana selalunya ia berlaku pada bulan Ogos, termasuklah untuk Galaxy Z Fold4 dan Galaxy Z Flip4 yang dilancar pada Ogos 2022.

Samsung mungkin melakukan sedemikian kerana mereka menghadapi saingan yang semakin sengit dalam industri telefon lipat, terutamanya daripada OPPO, HUAWEI, HONOR dan Motorola. Kini Google juga dijangka akan melancarkan telefon lipatnya yang pertama iaitu Pixel Fold.

Oleh yang demikian, tarikh pelancaran yang lebih awal ini membenarkan Samsung untuk menjarakkan mereka dengan telefon lipat daripada jenama lain. Selain dua telefon lipat ini, peranti Samsung lain yang dijangka akan turut dilancar bersama adalah tablet Samsung Galaxy Tab S9 dan jam tangan Samsung Galaxy Watch 6.

Perlu diingati bahawa perkara ini masih belum disahkan secara rasmi oleh Samsung. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: SamMobile

Exit mobile version