Site icon TechNave BM

Samsung mungkin hentikan penggunaan cipset Exynos selama 2 tahun

Samsung kini dilaporkan bakal berhenti menggunakan cipset Exynos di dalam peranti andalannya (flagship) untuk beberapa tahun. Menurut laporan media Korea Selatan, syarikat elektronik itu berbuat demikian bagi memperbaiki cipset Exynos sepanjang tempoh tersebut.

Pada masa ini, siri telefon pintar andalan Galaxy S22 untuk pasaran Malaysia dan kebanyakan negara Asia dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1. Ini adalah berlainan dengan siri Galaxy S sebelum ini yang selalunya dilengkapi cipset Exynos yang dibina oleh Samsung sendiri.

Cipset Exynos kerap dibandingkan dengan cipset Qualcomm dan selalunya cip Exynos menghasilkan prestasi yang lebih perlahan. Ini menyebabkan lebih ramai pengguna menggesa Samsung untuk melengkapkan cipset Qualcomm dalam peranti-perantinya.

Oleh yang demikian, Galaxy S23 dikhabarkan tidak akan dilengkapi cipset Exynos, sama seperti siri Galaxy S22. Buat masa ini, syarikat itu akan bekerja dengan lebih 1,000 orang bermula Julai 2022 untuk menentukan hala tuju cipset Exynos pada masa akan datang.

Adakah anda bersetuju dengan langkah ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Authority

Exit mobile version