Site icon TechNave BM

Samsung mungkin lancarkan hab pengecasan wayarles baharu bersama Galaxy S23

Samsung mungkin akan melancarkan pengecas wayarles baharu bersama-sama pelancaran siri Galaxy S23 pada awal tahun depan. Sumber melihat aksesori pengecasan baharu dalam pembangunan. Produk ini dinamakan Wireless Charger Hub yang boleh mengecas berbilang peranti secara wayarles pada masa yang sama.

Mungkin ia juga menawarkan pengecasan berwayar. Tidak banyak maklumat tersedia tentang produk ini pada masa ini. Ia nampaknya mempunyai nombor model EP-P9500 tetapi belum disahkan lagi. Ada kemungkinan EP-P9500 ialah aksesori pengecasan yang berbeza dan tidak mempunyai sambungan dengan hab pengecas wayarles.

Samsung pastinya bakal menggantikan Wireless Charger Trio (EP-P6300) yang dilancarkan bersama siri Galaxy Note 20, Galaxy Z Fold 2, Galaxy Watch 3 dan Galaxy Buds Live pada pertengahan 2020. Pengecas itu mempunyai kuasa input maksimum 25W dan kuasa output 9W. Seperti namanya, Trio boleh mengecas tiga peranti serentak.

Ia mempunyai permukaan rata yang besar untuk telefon pintar, sepasang fon telinga TWS dan kawasan bulatan untuk jam tangan pintar. Samsung kini boleh membuat beberapa perubahan reka bentuk pada hab pengecas wayarles untuk memastikan keserasian dengan Galaxy Watch 5 Pro.

Ia mungkin lebih murah berbanding Wireless Charger Trio. Kami akan memaklumkan anda tentang ketersediaan aksesori pengecasan wayarles baharu yang sedang dibangunkan oleh Samsung ini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Headlines

Exit mobile version