Site icon TechNave BM

Samsung mungkin terpaksa tangguhkan pelancaran Galaxy S21 FE

Pada tahun lalu, telefon pintar Samsung Galaxy S20 Fan Edition (FE) merupakan antara peranti Samsung yang paling mendapat sambutan kerana spesifikasinya yang bertaraf andalan (flagship) namun dijual pada harga yang lebih murah daripada varian Galaxy S20 lain. Oleh yang demikian, telefon Samsung Galaxy S21 FE juga merupakan telefon yang sangat dinantikan pada tahun ini.

Walau bagaimanapun, Samsung mungkin terpaksa menangguhkan pelancaran untuk peranti tersebut kerana masalah kekurangan semikonduktor yang melanda industri teknologi di seluruh dunia. Buat masa ini, cip Qualcomm yang dilengkapi dalam telefon Galaxy S21 FE tidak boleh dihasilkan dengan cukup dan Samsung dilaporkan telah pun menghentikan pengilangan untuk sebuah telefon kelas pertengahan kerana masalah kekurangan semikonduktor.

Galaxy S21 FE dikhabarkan akan dilancar pada 19 Ogos bagi menggantikan ketiadaan Galaxy Note pada tahun ini. Spesifikasi dan rupa telefon tersebut telah pun tertiris, di mana ia dilengkapi spesifikasi andalan dan berkongsi rupa dengan varian Galaxy S21 lain.

Pelbagai syarikat elektronik kini mungkin terpaksa membuat keputusan sedemikian kerana kekurangan cip semikonduktor. Selain daripada permintaan yang naik mendadak akibat keperluan bekerja dari rumah sewaktu wabak COVID-19 dan menyukarkan syarikat semikonduktor untuk mencapai permintaan tersebut, masalah kemarau yang melanda Taiwan juga telah menyumbang kepada kemerosotan ini.

Majoriti besar semikonduktor yang digunakan di seluruh dunia dikilangkan di Taiwan, terutamanya oleh Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC). Selain itu, bekalan air yang banyak juga merupakan bahan yang penting dalam pengilangan semikonduktor, oleh itu kemarau di Taiwan ini telah menyukarkan lagi keupayaan TSMC untuk mencapai permintaan semikonduktor yang tinggi.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Mint

Exit mobile version