Site icon TechNave BM

Samsung mungkin tidak akan menyertakan pengecas bersama telefon mereka bermula tahun depan

Sebelum ini, Apple dilaporkan tidak lagi memasarkan telefon pintar mereka dengan pengecas di dalam kotak telefon itu. Nampaknya kini Samsung juga mungkin akan mengikut langkah yang sama seawal tahun hadapan.

Menurut media Korea Selatan, Samsung mengambil langkah ini bagi mengurangkan kos pembuatan telefon pintar yang semakin tinggi setiap tahun, lebih-lebih lagi dengan pengenalan teknologi rangkaian 5G. Ini juga bertujuan agar harga jualan telefon-telefon ini boleh dikekalkan sewaktu kos pembuatannya meningkat.

Bagi menjamin keuntungan, Samsung mungkin telah menyasarkan untuk tidak lagi menyertakan pengecas bersama telefon mereka. Jika ini berlaku, ini tentunya akan memberi impak yang besar terhadap industri telefon pintar terutamanya kepada syarikat yang bertanggungjawab mengilang pengecas-pengecas tersebut.

Sebelum ini, Samsung menerima kecaman selepas mereka menjual pengecas 45W untuk Galaxy S20 Ultra secara berasingan kerana telefon itu hanya disertakan bersama pengecas 25W. Setakat ini, masih tiada reaksi yang jelas berkenaan berita Samsung untuk tidak lagi memberikan pengecas bersama telefon mereka.

Walau bagaimanapun, berita ini masih lagi belum disahkan oleh Samsung. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ETNews

Exit mobile version