Site icon TechNave BM

Samsung naik taraf penghasilan skrin OLED khas untuk iPhone seterusnya

Antara pembekal skrin atau paparan OLED terbesar dalam industri telefon pintar adalah Samsung. Terkini, terdapat laporan yang mendedahkan bahawa Samsung sedang menaik taraf penghasilan panel OLED terkini untuk keluaran iPhone generasi yang seterusnya.

Perkara ini bukan perkara mustahil memandangkan Samsung telah menjadi pembekal panel OLED pada Apple sejak tahun-tahun yang lepas. Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa keluaran awal iPhone 12 bakal dihuni paparan daripada Samsung. Panel OLED yang dinaik taraf ialah panel OLED A3 dengan teknologi dua satah belakang (backplane).

Penghasilan skrin OLED ini juga bakal menghasilkan skrin OLED satah belakang dengan polikristalin oksida bersuhu rendah (LTPO). Teknologi LTPO merupakan teknologi sama untuk skrin jam tangan pintar Apple.

Selain Samsung, syarikat panel skrin di China seperti BOE dan Visionox juga sering tampil dengan teknologi skrin terkini. Terdahulu, terdapat khabar angin mengenai penggunaan skrin BOE pada salah satu siri iPhone 12.

Apa pun, berita ini bukanlah berita dari sumber rasmi. Apakah pendapat anda mengenai hal ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version