Site icon TechNave BM

Samsung pamerkan Flex Note, tampilkan rekaan tablet dengan skrin lipat

Dalam acara Society For Information Display (SID) 2022 Display Week di California, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, Samsung telah memperkenalkan sebuah produk baru bernama Flex Note yang menampilkan skrin besar dan boleh dilipat.

Menurut kenyataan daripada Samsung Display dan gambar yang dikongsi daripada pengkhabar berita teknologi Ice Universe, Flex Note mempunyai reka bentuk tablet dengan skrin yang boleh dilipat. Apabila ia dilipat, ia akan bertukar menjadi sebuah komputer riba kecil, di mana sebahagian skrin akan berfungsi sebagai papan kekunci.

Flex Note juga mungkin mempunyai sistem operasi Windows kerana papan kekuncinya mempunyai kekunci “Start” dengan logo Windows di bahagian kiri bawah. Apabila skrinnya diratakan, papan kekunci akan hilang dan Flex Note boleh digunakan seperti tablet biasa dengan skrin yang besar.

Peranti ini juga dilihat boleh digabungkan dengan papan kekunci luaran untuk digunakan seperti komputer riba sebenar. Selain itu, ia juga mempunyai ketebalan yang nipis, jadi ia lebih mudah dibawa berbanding sebuah komputer riba.

Setakat ini masih tiada maklumat jika Samsung akan melancarkan Flex Note sebagai sebuah produk komersial. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti unik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung Display Newsroom

Exit mobile version