Site icon TechNave BM

Samsung patenkan cincin yang boleh mengecas telefon dan peranti lain secara wayarles

Aksesori bank tenaga (power bank) sering dibawa oleh pengguna telefon pintar bagi menyediakan tenaga kecemasan jika telefon mereka kehabisan bateri. Walau bagaimanapun, bank tenaga sering bersaiz besar, berat serta sukar untuk dibawa ke mana-mana. Kini Samsung mungkin akan menyelesaikan masalah tersebut dengan menghasilkan cincin yang boleh mengecas telefon pintar.

Samsung telah mempatenkan sebuah rekaan cincin yang boleh menyimpan tenaga elektrik serta mengecas telefon secara wayarles. Bukan itu sahaja, cincin tersebut juga boleh dicas menggunakan gerakan tangan pengguna sewaktu berjalan.

Daripada gambar paten, cincin tersebut akan dilengkapi cakera magnet yang boleh bergerak bagi menjana elektrik daripada pergerakan tangan. Cincin tersebut juga dilaporkan boleh menjana elektrik daripada haba yang datang daripada tangan pengguna.

Untuk mengecas telefon secara wayarles, cincin ini perlu diletakkan berhampiran dengan gegelung pengecas dalam telefon bagi memindahkan tenaga. Masih tidak pasti berapakah kapasiti tenaga yang boleh disimpan dalam peranti kecil ini.

Perlu diingati bahawa ini sekadar paten sahaja dan tidak bermakna Samsung akan menghasilkannya. Kongsi pendapat anda tentang rekaan unik ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version