Site icon TechNave BM

Samsung patenkan telefon pintar dengan skrin yang boleh ‘terkeluar’

Samsung sudah pun menghasilkan dua telefon pintar flagship yang boleh dilipat, iaitu Galaxy Fold dan Galaxy Z Flip. Kini, Samsung mungkin akan menghasilkan sebuah lagi telefon dengan skrin unik yang mungkin boleh ‘terkeluar’ pula daripada rangka telefon.

Let’s Go Digital melaporkan Samsung telah mendaftarkan paten untuk telefon dengan skrin fleksibel yang boleh dikeluarkan sedikit daripada rangkanya, bagi menghasilkan kamar gema (resonance chamber) kecil di dalam telefon untuk audio yang lebih bagus. Paten yang didaftarkan pada bulan Februari itu menunjukkan pembesar suara yang berada dekat dengan bahagian skrin yang terkeluar.

Samsung Galaxy smartphone

Ini adalah kali pertama konsep kamar gema cuba diimplementasi dalam sebuah telefon. Dengan kamar gema tersebut, bunyi yang dihasilkan mungkin akan mempunyai bass yang lebih dalam. Daripada segi skrin pula, skrin yang fleksibel itu mungkin akan dibuat dengan polimer plastik yang terdapat pada Galaxy Fold pertama.

Samsung telah mendaftarkan paten ini dengan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) dan ia telah diterbitkan pada 15 Oktober lalu. Perlu diingat bahawa pendaftaran paten sahaja tidak bermakna Samsung akan menghasilkan telefon ini, ia cumalah sekadar pendaftaran idea jika Samsung memutuskan untuk menghasilkannya pada masa akan datang.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Let’s Go Digital

Exit mobile version