Site icon TechNave BM

Samsung perkenal Galaxy XCover Pro, peranti tahan lasak untuk pekerja lapangan

Samsung Amerika Syarikat (AS) pada hari ini memperkenalkan sebuah telefon pintar baharu yang akan dipasarkan kepada ahli-ahli profesional yang bekerja di lapangan. 

Telefon itu yang dinamakan Galaxy XCover Pro mempunyai ciri-ciri tahan lasak, seperti kalis air tahap IP68, kalis debu, boleh menahan impak setinggi 1.5 meter walaupun tanpa casing dan mempunyai piawaian MIL-STD 810G (Military Standards) yang membolehkan peranti tersebut untuk berfungsi dalam keadaan altitud tinggi, kelembapan melampau dan lain-lain persekitaran yang mencabar.

XCover Pro juga dilengkapi bateri berkapasiti 4,050 mAh dan boleh diganti dengan mudah. Ciri ini tentunya amat penting buat mereka yang bekerja di lapangan pada masa yang lama dan tidak mempunyai akses kepada soket elektrik. Skrinnya yang berukuran 6.3 inci juga boleh digunakan sewaktu hujan atau salji, dan mod sarung tangan membenarkan pengguna untuk berinteraksi dengan skrin sambil memakai sarung tangan.

Untuk memudahkan tugasan pengguna, XCover Pro juga mempunyai dua butang khas yang boleh diprogramkan untuk membuat tugasan tertentu, seperti mengaktifkan lampu suluh, menghubungi nombor tertentu atau mengakses aplikasi.

Masih tiada berita berkenaan peranti ini tentang pemasarannya di Malaysia, tetapi Samsung mengumumkan ia akan dipasarkan ke seluruh dunia. Ia akan dipasarkan di Eropah bermula 31 Januari dengan harga €500 manakala di AS pula akan dipasarkan bermula separuh pertama tahun ini dengan harga US$499.99.

Adakah anda berminat dengan telefon lasak ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita telefon pintar dan teknologi terkini.

Sumber: Samsung, GSMArena

Exit mobile version