Site icon TechNave BM

Samsung perkenalkan cip telefon pintar pertama di dunia yang dibuat dari nod proses 2nm

Baru-baru ini, Samsung secara rasminya memperkenalkan pemproses mudah alih pertama yang dibina menggunakan proses 2nm Gate-All-Around (GAA). Pengumuman ini dibuat sewaktu mesyuarat pendapatan (earnings call) untuk suku kedua 2025, lantas mendahulukan Samsung berbanding Apple, Qualcomm dan MediaTek dalam perlumbaan inovasi cipset.

Samsung masih belum mengumumkan nama rasmi untuk cipset ini, namun seorang pengkhabar berita teknologi mengatakan ia bakal mempunyai nama Exynos 2600, seperti yang disahkan oleh Samsung dalam sesi soal jawab. Cipset Exynos 2600 dibuat daripada proses 2nm GAA sebagai SoC terkecil buat masa ini dan menawarkan peningkatan ketara dalam kecekapan tenaga, kawalan haba dan prestasi kecerdasan buatan (AI).

Cipset ini menggunakan susunan CPU 10 teras (1+3+6) untuk prestasi dan penggunaan tenaga yang optimum, serta dilengkapi GPU Xclipse 960 untuk menawarkan prestasi grafik yang lebih tinggi sebanyak 15% daripada Qualcomm Adreno 830. Ia turut mempunyai NPU yang dipertingkat untuk prestasi AI yang lebih pantas dalam tugasan seperti pengecaman suara dan pemprosesan gambar.

Cipset ini dijangka akan ditawarkan dalam siri Samsung Galaxy S26 yang dilancar pada tahun hadapan. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung

Exit mobile version