Site icon TechNave BM

Samsung perkenalkan teknologi mesra alam baharu dalam siri kelengkapan elektrik Bespoke

Samsung memperkenalkan beberapa teknologi baharu untuk siri kelengkapan elektrik Bespoke yang bertujuan untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar, bermula daripada pengilangannya hinggalah penggunaannya oleh para pelanggan.

Antara teknologi baharu ini adalah penapis Less Microfiber Filter yang mengurangkan penghasilan mikroplastik sehingga 98% sewaktu membasuh baju dalam mesin Bespoke. Apabila mesin basuh itu digunakan untuk membasuh baju empat kali seminggu dengan berat dua kilogram, penapis ini akan mengurangkan pelepasan mikroplastik sebanyak 132 gram untuk satu orang, setiap tahun. Ini adalah berat plastik yang sama seperti lapan botol plastik 500ml.

Samsung juga memperbaharui proses pengilangan produk Bespoke bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas karbon dioksida. Antara proses yang diperkenalkan adalah penggunaan bio-plastik daripada minyak buangan untuk pembuatan bakul simpanan dalam peti sejuk Bespoke, serta meluaskan penggunaan jala ikan yang dikitar semula.

Semua pembungkusan produk Bespoke akan dibuat dengan konsep eco-packaging yang akan mengurangkan penggunaan pita pelekat plastik dan kertas.

Di samping itu, lima kelengkapan Bespoke baharu akan dilengkapi teknologi SmartThings AI Energy Mode untuk meningkatkan kecekapan tenaga.

Selain mencipta teknologi mesra alam, Samsung juga ingin memudahkan penggunaan antara pelbagai kategori produk Bespoke untuk meningkatkan pengalaman hidup di rumah. Semua produk Bespoke baharu yang dilancar bermula tahun ini akan dilengkapi sokongan Wi-Fi untuk dihubungkan melalui SmartThings.

Samsung Bespoke akan menawarkan produk dalam 15 kategori, termasuklah peti sejuk, pembersih vakum, mesin basuh, penghawa dingin dan banyak lagi. Peti sejuk terbaru termasuklah Bespoke 4-Door Flex™ with Family Hub™ yang menampilkan skrin sentuh 32 inci untuk pelbagai kegunaan multi-tugas.

Bespoke 4-Door Flex™ with Family Hub™
Bespoke Jet AI

Untuk permbersih vakum pula, Samsung memperkenalkan Bespoke Jet AI iaitu vakum wayarles paling berkuasa oleh Samsung setakat ini, dengan kuasa sedutan 280W dan penggunaan sehingga 100 minit dengan sekali cas. Ia dilengkapi fungsi AI Cleaning Mode yang boleh melaraskan kekuatan sedutan dan kelajuan berus mengikut keadaan persekitaran, termasuklah jenis lantai.

Layari laman web Bespoke Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version