Site icon TechNave BM

Samsung rasmikan Galaxy S20+ 5G & Galaxy Buds+ BTS Limited Edition, pra-tempahan sudah dibuka

Sebelum ini, kami melaporkan terdapat sebuah khabar bahawa Samsung akan melancarkan Galaxy S20+ 5G edisi khas kumpulan K-Pop terkenal, BTS. Kini peranti tersebut telah pun dirasmikan oleh Samsung dan pra-tempahan sudah pun dibuka.

Menurut sebuah laman web di Samsung Amerika Syarikat (AS), Galaxy S20+ 5G BTS Limited Edition akan dilancarkan pada 9 Julai namun harganya masih belum diumumkan. Berdasarkan rekod Samsung sebelum ini, harganya mungkin tidak jauh bezanya dengan Galaxy S20+ biasa.

Selain itu, pelanggan yang membuat pra-tempahan untuk telefon edisi khas ini juga layak mendapat potongan diskaun 50% terhadap Samsung Galaxy Buds Plus BTS Edition yang turut menyertakan pengecas wayarles BTS dan dua helai poster BTS.

Memandangkan ini adalah daripada Samsung AS, ia mungkin akan dilengkapi cipset Snapdragon 865. Seperti yang anda boleh jangkakan dalam sebuah telefon edisi khas, sistem antara muka (UI) juga sarat dengan tema BTS seperti latar belakang (wallpaper), kad gambar BTS, pelekat (sticker) unik, lock screen BTS dan sebagainya. Manakala spesifikasi lain adalah lebih kurang sama dengan edisi biasa.

Masih tidak diketahui jika Samsung akan memasarkannya di Malaysia, namun memandangkan jumlah BTS Army yang ramai di sini, tentunya terdapat permintaan yang besar terhadap produk tersebut. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version