Samsung mengesahkan sedang membangunkan telefon pintar dengan teknologi bateri silikon-carbon yang menandakan peningkatan kapasiti bateri lebih besar bakal tiba pada peranti Galaxy akan datang. Ia disahkan oleh wakil Samsung menjelang Galaxy Unpacked 2026 dengan menyatakan peranti berteknologi tersebut akan diperkenalkan “pada waktunya”.
Teknologi anod silikon-karbon membolehkan lebih banyak ion litium disimpan dalam ruang sama berbanding grafit yang membantu meningkatkan kapasiti tanpa menambah ketebalan atau berat peranti. Teknologi ini kini sudah digunakan oleh beberapa jenama China yang menawarkan bateri melebihi 7,000mAh.
Samsung bagaimanapun menegaskan pendekatan berhati-hati diambil bagi memastikan keselamatan, ketahanan dan kestabilan jangka panjang susulan pengalaman lalu termasuk insiden Samsung Galaxy Note 7. Ini menyebabkan proses ujian dalaman lebih ketat melibatkan isu pembengkakan, jangka hayat dan kebolehpercayaan kitaran pengecasan.
Pendekatan konservatif itu turut dilihat pada siri Galaxy S26 yang baru dilancarkan di mana hanya model asas menerima peningkatan bateri kecil manakala varian Plus dan Ultra mengekalkan kapasiti sedia ada. Walaupun bergerak lebih perlahan berbanding pesaing, kenyataan ini mengesahkan Samsung sedang menuju ke arah teknologi bateri generasi baharu.
Tiada garis masa pelancaran diumumkan, namun perkembangan ini memberi petunjuk peningkatan bateri lebih signifikan bakal diperkenalkan pada model Galaxy akan datang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: ITHome

