Site icon TechNave BM

Samsung sedang bina telefon boleh lipat seperti Galaxy Z Flip dengan harga lebih murah

Mungkin selama ini jauh di lubuk hati anda, anda sebenarnya menyimpan perasaan suka terhadap peranti boleh lipat seperti Samsung Galaxy Fold, Galaxy Z Fold2 atau Galaxy Z Flip. Namun, harganya khas untuk golongan berpoket premium. Berita baik, Samsung dilaporkan sedang bina peranti boleh lipat dengan harga yang lebih rendah!

Berita ini timbul melalui pendedahan maklumat dari SamMobile yang menyatakan bahawa terdapat model telefon bernombor SM-F415 dengan pilihan storan 64GB dan 128GB sedang dibina.

Untuk pengetahuan anda, Samsung sememangnya menggunakan nombor siri SM-Fxxx untuk siri Galaxy Z. Peranti ini mungkin versi lebih murah untuk Samsung Galaxy Z Flip.

Apa pun, hanya maklumat di atas saja yang diperoleh setakat ini. Kami tidak pasti serendah mana harga yang ditawarkan. Memandangkan harga peranti boleh lipat Galaxy Z Flip mencecah RM5000 di Malaysia, mungkin harganya akan lebih rendah dari itu.

Adakah anda berminat sekiranya peranti boleh lipat Samsung dijual dengan harga lebih rendah dan berapakah jangkaan harganya? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: SamMobile

Exit mobile version