Site icon TechNave BM

Samsung terbocorkan Galaxy Note20 dalam laman webnya sendiri

Media melaporkan bahawa sebuah acara Samsung Galaxy Unpacked akan dianjurkan secara digital pada 5 Ogos, di mana telefon pintar Galaxy Note20 akan dilancarkan di samping pelbagai peranti lain. Namun, Samsung mungkin telah memberikan maklumat tentang telefon tersebut secara tidak sengaja dalam laman webnya sendiri.

Seorang pencipta video YouTube di Rusia menemui sebuah gambar yang nampak seperti Galaxy Note20 dalam laman web Samsung Rusia. Laman web yang sepatutnya memaparkan butiran Galaxy Note8 sebaliknya memaparkan sebuah gambar telefon yang tidak menyerupai Galaxy Note8 atau Note10, jadi beliau membuat kesimpulan bahawa ini adalah gambar Galaxy Note20.

Jika ini bukanlah satu jenaka daripada pihak Samsung Rusia, gambar tersebut menunjukkan Galaxy Note20 berwarna gangsa Mystic Bronze yang mempunyai rekaan kamera mirip Galaxy S20 Ultra, di mana tiga lensa berada dalam barisan sebelah kiri manakala sensor lain berada dalam barisan kanan. Laman web tersebut sudah pun dipadamkan oleh Samsung Rusia.

Selain itu, sebuah gambar casing yang dikatakan untuk Galaxy Note20 juga telah dimuat naik di Twitter dan nampak seperti serupa dengan telefon yang ditunjukkan dalam laman web Samsung Rusia.

Memandangkan siri Galaxy Note biasanya dilancarkan pada bulan Ogos, kita boleh jangkakan lebih banyak maklumat tertiris tentang Galaxy Note20 pada bulan ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BGR, The Verge

Exit mobile version