Site icon TechNave BM

Samsung lancarkan produk pensteril UV untuk telefon pintar dan peranti elektronik berharga ~RM220

Pandemik COVID-19 yang masih melanda di seluruh dunia telah meningkatkan kesedaran orang awam bagi menjaga kebersihan persekitaran mereka. Telefon pintar yang selalu dipegang boleh menjadi antara objek yang paling kotor, jadi bagi menyelesaikan masalah ini, Samsung telah melancarkan sebuah produk pensteril ultra-ungu (Ultraviolet steriliser) yang dikhaskan untuk telefon pintar.

Samsung mengumumkan produk yang bernama UV Sterilizer di Thailand dan Singapura dan ia nampak seperti kebanyakan produk serupa yang telah berada dalam pasaran. Ia adalah sebuah kotak putih yang boleh memuatkan telefon besar seperti Galaxy S20 Ultra, jam tangan, earphone wayarles atau sebarang objek yang kecil.

Pengguna hanya perlu meletakkan objek yang ingin disterilkan ke dalam kotak UV Sterilizer, tekan butang dan produk itu akan mensterilkan objek tersebut. Ia menggunakan cahaya UV-C untuk membasmi 99% kuman dan bakteria. Produk ini juga mudah dibawa ke mana-mana dan boleh dicaskan menggunakan pengecasan wayarles 10W.

Ia dijual pada harga 1,590 Thai Baht (~RM220) di Thailand. Masih tidak pasti jika ia akan dijual di Malaysia namun memandangkan ia sudah dijual di negara jiran, kita boleh andaikan bahawa produk ini bakal dijual dalam negara kita tidak lama lagi. Beritahu kami di Facebook jika anda mahukan UV Sterilizer Samsung ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: XDA Developers

Exit mobile version