Site icon TechNave BM

Samsung tunjukkan sensor kamera telefon setinggi 200MP, tetapan 6 kamera

Kelihatannya, persaingan sensor kamera di pasaran telefon pintar kini semakin sengit dan bakal menggariskan resolusi sensor kamera yang tertinggi yang baru. Samsung kini dilihat memaparkan kehadiran sensor kamera pada telefon pintar dengan resolusi 200MP.

Untuk pengetahuan anda, setakat ini sensor kamera tertinggi di pasaran telefon pintar adalah 108MP. Siaran ini dimuat naik oleh Samsung Exynos sendiri yang bukan sahaja memaparkan sensor 200MP, tetapi juga menunjukkan kehadiran tetapan enam kamera dan dua kamera di hadapan untuk swafoto.

Tambah Samsung, siaran ini bukanlah bersifat acahan kerana Exynos 2100 sudah sedia menyokong sensor 200MP dengan tetapan kamera pelbagai.

Sebenarnya, sensor setinggi 200MP ini dilapor hadir pada sensor Samsung ISOCELL Generasi Ke-2 yang dinaik taraf. Melihat kepada paparan oleh Samsung, mungkin telefon pintar dengan sensor 200MP ini mungkin bakal hadir di pasaran dalam waktu terdekat, tetapi masih tidak diketahui ia bakal tersedia di peranti mana terlebih dahulu. Terdahulu, Xiaomi Mi 11 Ultra dijangka hadir dengan sensor kamera dari Samsung juga.

Adakah anda memerlukan telefon pintar dengan kamera sehingga 200MP? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung Exynos

Exit mobile version