Samsung secara rasmi memperkenalkan teknologi Flex Titanium yang akan digunakan pada generasi peranti boleh lipat seterusnya. Inovasi baharu memfokuskan kepada peningkatan ketahanan struktur skrin serta pengurangan kesan lipatan pada bahagian tengah paparan tanpa menambah ketebalan peranti.
Teknologi ini mengintegrasikan dua komponen berasaskan titanium iaitu filem aloi titanium dan plat titanium. Filem aloi titanium diletakkan di bawah panel OLED dan didakwa menawarkan kekakuan mekanikal 20 kali ganda lebih tinggi berbanding filem polimer tradisional.
Melalui proses penggulungan berketepatan tinggi, lapisannya dihasilkan dengan ketebalan hanya satu pertiga daripada sehelai rambut manusia. Di bawah lapisan filem tersebut, terdapat plat titanium fleksibel yang berfungsi menyokong modul paparan.
Samsung menggunakan teknologi pemprosesan lubang pada plat untuk menghapuskan ruang udara antara modul paparan dan pelekat bagi memberikan sokongan yang lebih stabil apabila peranti dibuka sepenuhnya. Teknologi ini juga menggabungkan seni bina resolusi tinggi dengan bahan organik baharu untuk meningkatkan kecekapan tenaga.
Penggunaan titanium dipilih kerana keseimbangan antara sifatnya yang kuat, fleksibel dan nipis yang diperlukan untuk struktur peranti boleh lipat. Maklumat lanjut mengenai peranti yang akan menggunakan teknologi ini dijangka diumumkan secara rasmi pada acara Galaxy Unpacked yang dijadualkan berlangsung pada 22 Julai ini.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Samsung

