Site icon TechNave BM

Samsung umum UFS 5.0 dengan kelajuan sehingga 10.8GB/s — Fokus AI pada peranti

Samsung mengumumkan pembangunan storan UFS 5.0 generasi baharu yang menawarkan prestasi sehingga dua kali lebih pantas berbanding UFS 4.1 selain direka untuk menyokong keperluan AI yang diproses terus pada peranti.

Samsung baru-baru ini mengumumkan pembangunan teknologi storan Universal Flash Storage (UFS) 5.0 yang hadir dengan peningkatan besar daripada segi prestasi dan kecekapan tenaga. Storan generasi baharu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pemprosesan AI moden khususnya untuk aplikasi on-device AI dan model bahasa besar (LLM).

Menurut Samsung, UFS 5.0 dibina berasaskan spesifikasi antara muka storan terbaharu daripada JEDEC serta menawarkan kelajuan bacaan sehingga 10.8GB/s dan kelajuan menulis sehingga 9.8GB/s. Prestasinya dikatakan sehingga dua kali lebih tinggi berbanding UFS 4.1 yang digunakan pada generasi semasa.

Selain peningkatan kelajuan, Samsung turut menyatakan bahawa UFS 5.0 menawarkan lebih 40% kecekapan tenaga yang lebih baik berbanding UFS 4.1. Pada masa sama, pakej fizikal storan ini juga 16.7% lebih kecil yang membolehkan ruang dalaman peranti digunakan dengan lebih fleksibel.

Samsung menjelaskan bahawa menaik taraf storan bertujuan mengurangkan latency serta mempercepatkan masa respons ketika menjalankan tugas AI secara terus pada peranti tanpa terlalu bergantung kepada pemprosesan awan. Buat masa ini, pengeluaran besar-besaran UFS 5.0 dijadualkan bermula pada suku keempat 2026 dengan kapasiti sehingga 1TB ditawarkan.

Namun, Samsung masih belum mengesahkan model peranti pertama yang akan menggunakan teknologi storan tersebut. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung

Exit mobile version