Kerajaan Sarawak sedang meneliti cadangan Grab Malaysia untuk melaksanakan projek perintis Grab Electric Sampan Proof of Concept (PoC) bagi memodenkan pengangkutan sungai di negeri itu. Inisiatif ini melibatkan penggunaan sampan berkuasa elektrik dengan sistem tempahan digital serta pembayaran tanpa tunai sebagai usaha memodenkan pengangkutan di Sungai Sarawak.
Projek ini menjadi sebahagian daripada usaha meluaskan transformasi digital dan kelestarian tenaga dalam sektor pengangkutan. Tambahnya, sungai memainkan peranan besar dalam identiti negeri dengan Sarawak memiliki sekitar 40 takungan sungai utama merangkumi lebih 123,000 kilometer persegi.
Projek perintis akan berlangsung selama enam bulan dan merangkumi lapan titik naik dan turun di sepanjang Kuching Waterfront. Melalui PoC, kerajaan mahu meningkatkan sambungan first-mile dan last-mile selain menjadikan pengangkutan sungai lebih selamat, praktikal serta relevan.
Ia juga dilihat selari dengan hala tuju lebih besar kerajaan negeri yang merangkumi program grid bekalan air bernilai RM10 bilion, pembangunan projek hidrokuasa cascading dam dan pelaksanaan teknologi pengurusan sungai pintar.
Sekiranya PoC ini berjaya, Sarawak berpotensi menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggabungkan pengangkutan sungai tradisional dengan model mobiliti moden seakan e-hailing, sekaligus membuka peluang kepada penggunaan sampan elektrik secara lebih meluas pada masa akan datang.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Borneo Post

