Site icon TechNave BM

Sebuah lagi acara besar teknologi dibatalkan kerana Koronavirus

Setakat ini, beberapa acara antarabangsa utama dalam industri teknologi sudah pun dibatalkan atau ditangguh kerana penyebaran koronavirus dan penyakit COVID-19. Kini, sebuah acara besar oleh Microsoft pula yang terpaksa dibatalkan kerana sebab yang sama.

Media melaporkan bahawa Microsoft telah membatalkan konferens IoT (Internet of Things) in Action yang dijadualkan pada 5 Mac ini di Melbourne, Australia.

“Kami membatalkan acara ini kerana ramai pelanggan dan rakan kongsi kami tidak mampu untuk hadir, justeru penganjuran acara tersebut tidak lagi mencapai objektif bisnesnya. Terima kasih kerana menyokong IoT in Action dan teruskan bersama kami untuk butiran acara-acara seterusnya,” kata Microsoft dalam satu kenyataan.

IoT in Action adalah sebuah acara untuk mendemonstrasi invovasi baru dalam industri IoT. Sejak penganjuran pertama pada 2017 di San Jose, AS, acara itu berkembang ke lebih 30 bandar dan menarik lebih 17,500 pengunjung.

Selain Microsoft, beberapa syarikat teknologi lain seperti Cisco, Salesforce dan Facebook juga sudah membatalkan acara mereka dalam bulan-bulan terdekat ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ARN

Exit mobile version