Site icon TechNave BM

Sebuah lagi Apple Event akan dianjur pada 18 Oktober, mungkin untuk komputer Mac baru

Selepas melancarkan iPhone 13 pada bulan lalu, Apple mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan sebuah lagi acara pelancaran Apple Event pada hari Isnin, 18 Oktober 2021 jam 10:00 pagi PT (19 Oktober 1:00 pagi waktu Malaysia) di mana mereka dijangka akan melancarkan komputer riba MacBook baharu.

Dalam sebuah ciapan oleh eksekutif pemasaran Apple Greg Joswiak, beliau berkongsi sebuah video pendek yang mempunyai perkataan “Unleashed” dan muka taip (font) berbintik yang mungkin menunjukkan teknologi LED baharu.

Antara produk yang dikhabarkan akan dilancar dalam acara tersebut ialah MacBook Pro 14 inci dan 16 inci yang dilengkapi cipset M1X dan lebih pantas berbanding M1 yang dilancar pada tahun lalu. Cipset tersebut mungkin mempunyai sepuluh teras CPU iaitu dua teras lebih banyak berbanding M1 yang dilengkapi lapan teras.

Selain itu, Apple dikhabarkan akan melancarkan komputer Mac Mini baharu serta fon telinga AirPods generasi ketiga. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan produk Apple baharu pada minggu depan dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version