Site icon TechNave BM

Segalanya yang anda perlu tahu tentang Pangkalan Data Utama (PADU) untuk dapatkan bantuan kerajaan

Pada hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan perkhidmatan data Pangkalan Data Utama (PADU) bagi membangunkan transformasi digital negara yang memudahkan kerajaan untuk memberi bantuan kepada rakyat yang berhak. Setiap rakyat Malaysia kini boleh mengemas kini maklumat mereka dalam data tersebut untuk mendapatkan bantuan dan subsidi oleh kerajaan pada masa hadapan.

Dalam ucaptamanya, beliau menyatakan terlalu banyak ketirisan, kebocoran dan penipuan yang berlaku dalam mengagihkan bantuan kepada rakyat, dan ini menyebabkan kewujudan kelompok miskin dalam negara. Penyaluran subsidi tanpa pendekatan digital hanya akan memanfaatkan golongan maha kaya dan warga asing.

Memandangkan kerajaan sudah pun berbelanja RM80 bilion untuk memberi subsidi, beliau berkata Malaysia tidak akan mampu bertahan dalam mengurus belanjawan negara jika isu pengagihan subsidi ini tidak dapat diperbaiki. Oleh yang demikian, sistem PADU ini boleh mengelakkan setiap ketirisan dalam penyaluran bantuan dan subsidi kerajaan.

Jika anda masih tidak mengenali apakah itu PADU, berikut adalah maklumat ringkas bagi membantu anda memahami lebih banyak tentangnya:

Apa itu PADU?

PADU ditubuhkan bagi menyediakan pangkalan data utama negara yang selamat, lengkap dan hampir masa sebenar (near real-time) serta membolehkan analitik data lebih tepat, penggubalan dasar berpandukan data dan membenarkan pelaksanaan dasar secara bersasar untuk mengimbangi kedudukan fiskal.

Ia juga akan meningkatkan kecekapan pengurusan, pengumpulan dan penyimpanan data daripada pelbagai sumber. Maklumat profil rakyat akan diperoleh melalui pengintegrasian data pendtabiran daripada pelbagai agensi, manakala data selebihnya akan dikemas kini oleh individu.

Selain itu, ia bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan seperti subsidi dengan lebih cekap, serta menjimatkan sumber secara signifikan.

PADU telah dibangunkan sepenuhnya oleh Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta beberapa agensi kerajaan lain, tanpa melibatkan pihak luar. Mereka mengambil masa enam bulan untuk membina sistem PADU.

Bila saya boleh daftarkan diri?

Bermula hari ini sehingga 31 Mac 2024, semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas boleh mendaftar dan dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan. Anda boleh layari portal PADU sekarang di laman web https://www.padu.gov.my.

Buat mereka yang tinggal di kawasan luar bandar yang mempunyai capaian internet rendah, DOSM akan membenarkan pendaftaran secara manual di Pusat Ekonomi Digital (PEDi), pejabat daerah dan pejabat kerajaan tempatan. Kerajaan juga akan menubuhkan pasukan khas untuk membawa perkhidmatan Starlink ke kawasan yang tidak mempunyai liputan internet.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sistem PADU membolehkan kerajaan mengenal pasti rakyat yang benar-benar layak untuk menerima subsidi bersasar. Sistem PADU akan mengenal pasti pelbagai faktor seperti bilangan tanggungan, jumlah pendapatan dan tahap isi rumah sama ada B40, M40 atau T20.

Di samping itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata tiada tindakan akan dikenakan kepada mereka yang tidak mengemas kini maklumat dalam PADU, namun mereka berisiko untuk tercicir daripada menerima subsidi bersasar yang akan menggunakan data PADU pada masa hadapan.

Bagi menggalakkan rakyat untuk mengemas kini data PADU, beliau berkata 3,000 orang terawal yang mendaftar dan mengemas kini data di PADU akan menerima kad NFC Touch ‘n Go secara percuma. Mereka yang mendaftar di PADU juga boleh menerima diskaun di pasar raya MYDIN.

Adakah data saya selamat?

Rafizi turut menjelaskan bahawa data perbankan tidak termasuk dalam PADU kerana Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) melarang data tersebut daripada digunakan oleh pihak lain. Daripada segi pengurusan pula, data PADU tidak akan dikongsikan dengan mana-mana pihak kerana ia bertentangan dengan undang-undang.

Walaupun pelbagai agensi kerajaan akan menyumbang kepada pengumpulan data PADU, bukan semua agensi boleh ambil data tersebut untuk kegunaan sendiri. Data yang ada dalam PADU hanya boleh digunakan oleh agensi tertentu, bergantung kepada kes.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh berkata data rakyat yang disimpan dalam PADU akan dikawal selia oleh beberapa akta sedia ada serta Akta Omnibus yang akan dibentangkan pada masa akan datang. Akta Omnibus adalah sebuah akta yang menyelaraskan perkongsian data dan storan awanan (cloud storage) di antara agensi-agensi kerajaan dan ia akan dibentangkan pada tahun ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk memantau pelaksanaan sistem PADU supaya ia mencapai matlamat asalnya dalam menjamin pengagihan subsidi kepada rakyat.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA (1,2,3,4), Berita Harian

Exit mobile version