Site icon TechNave BM

Selain HUAWEI, dua jenama lagi akan menggunakan sistem operasi HarmonyOS 2.0

HUAWEI telah melancarkan sistem operasinya sendiri untuk peranti mudah alih bernama HarmonyOS bagi menggantikan ketiadaan perkhidmatan Google dalam perantinya. Buat masa ini, HarmonyOS hanya dilengkapi dalam peranti yang dihasilkan oleh HUAWEI namun lebih banyak jenama akan menggunakannya pada masa hadapan.

Dalam acara HUAWEI HarmonyOS Connect Partner Summit baru-baru ini, naib presiden jabatan AI Perniagaan dan Pengguna HUAWEI Yang Haisong mengatakan HarmonyOS adalah sebuah sistem terbuka (open-source) yang boleh diguna oleh mana-mana syarikat teknologi. Beliau turut mengatakan tiga jenama telefon pintar bakal menggunakan HarmonyOS dalam produk-produk mereka.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jenama spesifik yang akan menggunakan HarmonyOS.

HUAWEI kini perlu bergantung kepada rakan-rakan kongsi mereka untuk meluaskan penggunaan HarmonyOS dalam peranti-peranti lain, untuk membina sebuah ekosistem menyeluruh. Haisong mengatakan HUAWEI perlu mencapai tahap penggunaan meluas dalam masa satu ke dua tahun sahaja.

Pengerusi HUAWEI Xu Zhijun mengatakan 300 juta peranti akan mengoperasikan Harmony OS pada hujunga 2021 dan 200 juta daripada jumlah tersebut adalah produk HUAWEI.

Apakah jenama yang akan menggunakan HarmonyOS dalam peranti mereka? Kongsi ramalan anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version