Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menggariskan panduan untuk premis perniagaan makanan merekodkan pelanggan yang hadir makan di kedai. Perlaksanaan SOP ini mungkin agak sedikit janggal memandangkan ianya merupakan satu kebiasaan baharu yang perlu kita ikuti. Namun, Selangor kini memperkenalkan sistem untuk merekod dan menjejak kembali maklumat individu yang hadir di premis makanan tertentu.
Jika berasaskan perlaksanaan secara manual, mungkin pekerja di premis perniagaan perlu mengambil maklumat pelanggan yang makan di kedai dengan menulis butiran di buku log. SELangkah membantu urusan pendaftaran dan rekod individu dengan lebih mudah. Sistem ini bukan sahaja memudahkan pemilik premis, malah memudahkan pelanggan juga.
SELangkah memerlukan pemilik premis untuk mendaftar, mencetak kod QR yang diberikan dan kemudiannya menampal di premis. Pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR tersebut melalui telefon pintar mereka. Dilaporkan, kebanyakan premis sudah mula mendaftar. Untuk yang masih belum mendaftar, pemilik premis boleh melakukannya di selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my.
Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

