Site icon TechNave BM

Selepas 7 tahun menghilang, vivo S2 kini dilancarkan dengan bateri 7,050mAh dan IP69

vivo melancarkan telefon pintar terbaharunya iaitu vivo S2 selepas siri berkenaan tidak mengeluarkan model baharu hampir tujuh tahun. Peranti kelas pertengahan ini dikuasai oleh cip MediaTek Dimensity 7360-Turbo 4nm bersama padanan RAM LPDDR4X 8GB dan memori dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB.

Pada bahagian paparan, peranti menggunakan skrin AMOLED 1.5K bersaiz 6.83 inci dengan kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 3,000 nits. Skrin turut menyokong pengimbas cap jari dalam skrin untuk pengesahan biometrik.

Sistem kamera belakang menampilkan sensor utama Sony 50MP bersama sensor kedalaman 2MP dan lampu kilat ring Aura Light manakala bahagian hadapan dilengkapi kamera swafoto 32MP. Kedua-dua kamera hadapan dan belakang berupaya merakam video pada resolusi 4K. vivo S2 turut disahkan dengan penarafan kalis debu dan air IP68 serta IP69.

Baterinya pula berkapasiti 7,050mAh menyokong pengecasan pantas 44W menerusi sambungan USB-C. Peranti beroperasi menggunakan OriginOS 6 berasaskan Android 16 dengan jaminan kemas kini sistem operasi selama tiga tahun dan kemas kini keselamatan selama lima tahun.

vivo S2 ditawarkan dalam pilihan warna Sapphire Blue, Regal Bronze dan Silk White. Harga jualan di India bermula daripada Rs. 39,999 (~RM2,100) bagi varian 8/128GB dan Rs. 45,999 (~RM2,400) bagi varian 8/256GB dengan jualan rasmi bermula pada 11 Ogos 2026. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: vivo

Exit mobile version