Site icon TechNave BM

Selepas lancarkan satelit, Geely kini beli Meizu untuk pembangunan peranti pintar

Visi seperti Elon Musk, Geely melakukan penambahbaikan dengan mengambil masa yang sangat singkat dalam pembangunan kereta autonominya. Baru sahaja melancarkan satelit untuk mengorbit bumi, kini mereka membeli Meizu yang merupakan pengilang telefon pintar. Mereka seakan membina rangkaian antara satelit, kereta autonomi dan peranti pintar.

Pada Januari lalu, terdapat khabar angin bahawa pembuat kereta China, Geely sedang mencari peluang menceburi bidang perniagaan telefon pintar dengan membeli Meizu yang sedang merudum. Pengambilalihan kini selesai walaupun Meizu tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan akhbar.

Meizu tidak bernasib baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kerjasama dengan Sony yang bertujuan untuk membawa aplikasi Flyme ke telefon Xperia tidak banyak membantu syarikat itu. Geely mempunyai sumber kewangan untuk menyokong syarikat itu kerana Geely merupakan pemilik pembuat kereta Proton, Volvo, Polestar, Lotus dan lain-lain.

Salah satu jenama yang dimiliki oleh Geely baru-baru ini telah melancarkan Zeekr 001 yang menampilkan sistem radio kereta Flyme for Car yang dibangunkan oleh Meizu. Tahun lepas, Geely juga mencipta syarikat baharu iaitu Hubei Xingji Shidai Technology dengan matlamat untuk membangunkan telefon pintar dan alat pintar lain untuk pasaran global.

Percaya atau tidak, kita bakal melihat kereta Proton dengan ciri pemanduan kendiri. Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version