Site icon TechNave BM

Selepas sensor 200MP, Samsung rancang lancarkan sensor kamera 576MP

Pada awal bulan ini, Samsung telah melancarkan sensor kamera ISOCELL HP1 iaitu sensor pertama untuk telefon pintar yang mempunyai resolusi 200MP. Ia dilengkapi teknologi pixel-binning ChameleonCell untuk penggambaran malap dan menyokong rakaman 8K pada kadar 30 bingkai sesaat (fps). Sensor ini dijangka akan dilengkapi dalam telefon Samsung Galaxy S22 pada tahun hadapan.

Kini, sensor kamera seterusnya oleh Samsung mungkin mempunyai resolusi yang sangat tinggi iaitu 576MP. Seorang eksekutif Samsung Electronics, Haechang Lee, telah berucap dalam acara SEMI Europe Summit bahawa mereka merancang untuk melancarkan sensor 576MP pada tahun 2025.

Beliau telah berkongsi satu slaid yang menunjukkan pembangunan sensor kamera Samsung setakat ini dan mereka merancang untuk mencipta sensor kamera yang lebih jelas berbanding mata manusia.

Walau bagaimanapun, sensor tersebut bukanlah untuk telefon pintar. Ia akan digunakan untuk kereta swapandu (autonomous vehicles), dron dan kelengkapan perubatan. Untuk telefon pintar dalam masa terdekat, ia mungkin akan dilengkapi sensor ISOCELL HP1 200MP atau ISOCELL GN2 50MP.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: SamMobile

Exit mobile version