Site icon TechNave BM

Selepas Twitter, Elon Musk kini mahu beli syarikat OpenAI dengan harga $97.4 bilion

Elon Musk bersama sekumpulan pelabur telah mencadangkan pembelian OpenAI dengan nilai $97.4 bilion, menurut laporan The Wall Street Journal. Tawaran ini menyasarkan aset organisasi bukan untung yang mengawasi syarikat yang bertanggungjawab ke atas ChatGPT. Pada masa yang sama, OpenAI sedang dalam kempen pengumpulan dana untuk menggandakan penilaiannya.

The New York Times menyifatkan situasi ini sebagai peningkatan dalam persaingan peribadi yang berlarutan selama bertahun-tahun antara Elon Musk dan Ketua Eksekutif OpenAI, Sam Altman. Kedua-duanya merupakan pengasas OpenAI, namun kini lembaga pengarah lebih berpihak kepada Altman, menurut laporan NYT.

Sam Altman membalas sindiran terhadap bekas rakan kongsinya menerusi ciapan di X dengan mengatakan bahawa beliau tidak berminat dan menyindir akan membeli Twitter dengan harga $9.74 bilion jika Musk mahu. Menurut sumber yang rapat dengan situasi ini, OpenAI belum meneliti tawaran pembelian tersebut.

Cadangan itu datang daripada satu konsortium yang merangkumi Vy Capital dan Xai, syarikat AI milik Musk. Sebaliknya, OpenAI lebih memberi tumpuan kepada usaha pengumpulan dana. SoftBank, konglomerat dari Jepun telah mengetuai pusingan pembiayaan terbaru yang menilai OpenAI pada $300 bilion.

Ini meletakkan OpenAI sebagai salah satu syarikat persendirian paling bernilai di dunia setanding dengan SpaceX milik Musk dan ByteDance, syarikat induk TikTok. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WSJ

Exit mobile version