Site icon TechNave BM

Selepas Twitter, kini Spotify pun mahukan fungsi “Stories” sendiri

Pelbagai perkhidmatan media sosial telah memperkenalkan format kandungan 24 jam selepas Snapchat memperkenalkannya pada 2011. Instagram, Facebook dan WhatsApp mempunyai Stories manakala Twitter pula telah memperkenalkan Fleets baru-baru ini. Kini, perkhidmatan pelayaran muzik Spotify dilaporkan akan memperkenalkan fungsi yang sama kepada para penggunanya.

Perkara tersebut telah dikesan oleh YouTuber TmarTn2 dan beliau menunjukkan fungsi tersebut di Twitter. Ia memaparkan klip video pendek oleh penyanyi Meghan Trainor, Kelly Clarkson dan beberapa orang lagi. Turut berada di bahagian atas skrin adalah garis-garis pendek yang menyerupai fungsi Stories dalam Instagram.

Fungsi Stories dalam Spotify ini mungkin bertujuan memberi ruang kepada artis untuk mempromosi atau bercakap tentang karya mereka. Fungsi tersebut mungkin sedang dalam peringkat ujian A/B (A/B testing) yang akan diberikan kepada pengguna secara rawak, jadi anda mungkin boleh melihatnya dalam masa terdekat.

Apakah pendapat anda tentang fungsi Stories di Spotify? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version