Site icon TechNave BM

Selepas Xiaomi, OPPO dan vivo mungkin akan lancarkan telefon lipat pada tahun ini

Pada bulan lalu, Xiaomi telah pun melancarkan telefon pintar lipat pertama oleh mereka iaitu Mi MIX Fold dan kini syarikat China yang lain mungkin akan turut melancarkan telefon lipat mereka sendiri. Laporan terbaru mengatakan bahawa OPPO dan vivo kini mungkin sedang mengusahakan telefon lipat pertama yang akan dilancar pada tahun ini.

Menurut pengkhabar berita teknologi dari China, Digital Chat Station, kedua-dua syarikat telah pun mencapai fasa terakhir dalam penghasilan telefon lipat masing-masing. Beliau juga mengatakan OPPO sedang menghasilkan dua telefon lipat, satu dengan skrin utama 8 inci manakala satu lagi dengan skrin utama 7 inci.

Sementara itu, telefon lipat vivo pula dilengkapi skrin utama 8 inci dan skrin luaran 6.5 inci. Kedua-dua syarikat berada di bawah naungan BBK Electronics, jadi logik untuk kita jangkakan tarikh pelancaran yang rapat untuk kedua-dua telefon.

Sebelum ini, OPPO sudah pun memperkenalkan satu telefon dengan mekanisme unik iaitu OPPO X 2021 yang menampilkan skrin gulung. Walau bagaimanapun, mereka mungkin turut berminat untuk menyertai industri telefon lipat yang sudah pun didahului oleh Samsung dan HUAWEI.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version