Site icon TechNave BM

Semua yang anda perlu tahu tentang vaksin COVID-19 di Malaysia!

Dengan ketibaan vaksin COVID-19 yang pertama di tanah air pada 21 Februari 2021, Malaysia kini sedang mengorak langkah penting dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bertujuan melindungi sekurang-kurangnya 80% daripada penduduk dewasa di Malaysia. Ini adalah detik bersejarah bukan sahaja buat Malaysia, namun di seluruh dunia yang melihat program pengedaran vaksin yang sangat cepat buat kali pertama dalam sejarah.

Namun dengan kehadiran vaksin ini, wujud juga lambakan maklumat palsu yang mengelirukan rakyat Malaysia tentang vaksin COVID-19. Demi meningkatkan keyakinan pembaca, kami akan bentangkan beberapa maklumat asas yang anda perlu tahu tentang vaksin COVID-19. Semua maklumat ini diperolehi daripada Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Apa itu vaksin COVID-19?

Vaksin ini mempunyai antigen yang merangsang sistem imun badan penerima supaya badan boleh bertindak balas dengan lebih cekap terhadap jangkitan virus COVID-19. Vaksin ini adalah langkah perlindungan terbaik terhadap wabak tersebut. Sebelum ini, pelbagai jenis vaksin telah digunakan untuk melawan penyakit berbahaya seperti tuberkulosis, demam campak, Rubella dan banyak lagi.

Kerajaan Malaysia merancang untuk membeli 66.2 juta dos vaksin COVID-19 daripada lima syarikat penghasil vaksin iaitu Pfizer-BioNTech (Amerika Syarikat), AstraZeneca (United Kingdom), Sinovac (China), CanSino Biologics (China) dan Sputnik V (Rusia).

Untuk perlindungan yang berkesan, setiap penerima perlu menerima dua dos vaksin dalam tempoh yang telah ditetapkan kecuali vaksin CanSino Biologics yang hanya memerlukan satu dos.

Selamatkah vaksin COVID-19?

Pada waktu artikel ini ditulis, vaksin Pfizer-BioNTech telah mendapat kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Ini bermakna vaksin tersebut telah pun disahkan selamat oleh agensi perubatan negara. Vaksin Pfizer setakat ini mempunyai kadar keberkesanan yang paling tinggi iaitu 95%.

Sementara itu, empat lagi vaksin masih diproses oleh NPRA. Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) menetapkan bahawa hanya vaksin yang mempunyai kadar keberkesanan 50% dan ke atas yang boleh disuntik ke dalam badan manusia.

Penerima vaksin COVID-19 juga dilaporkan telah mengalami kesan sampingan yang ringan dan bersifat sementara selepas disuntik seperti bengkak di tempat suntikan, penat, sakit kepala, demam dan sakit sendi. Penerima boleh memaklumkan sebarang kesan sampingan melalui aplikasi MySejahtera.

Halal ke vaksin COVID-19?

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin adalah harus, termasuk vaksin untuk COVID-19. Ini adalah bagi melindungi manusia daripada sebarang penyakit berbahaya.

Selain Malaysia, institusi fatwa dunia lain turut menyatakan hukum harus untuk pengambilan vaksin termasuklah institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif; Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu; dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat.

Sebagai rujukan, semua jemaah haji dan umrah Malaysia diwajibkan untuk mengambil vaksin meningokokus sebelum bertolak ke Arab Saudi. Jadi pengambilan vaksin bukanlah sesuatu yang asing buat umat Islam.

Berapa ringgit vaksin COVID-19 ni?

Vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia termasuk yang bukan warganegara.

Pengambilan vaksin ini juga adalah secara sukarela. Walau bagaimanapun, kerajaan mensasarkan kadar vaksinasi sebanyak 80% di kalangan penduduk Malaysia menjelang Februari 2022.

Bila saya boleh dapat vaksin COVID-19?

Kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin dalam tiga fasa iaitu:

Jika anda bukan daripada petugas barisan hadapan atau golongan berisiko tinggi, besar kemungkinan anda akan mula mendapatkan vaksin seawal bulan Mei.

Bagaimana saya boleh dapatkan vaksin COVID-19?

Kerajaan telah memperkenalkan lima cara untuk anda mendapatkan vaksin COVID-19 iaitu:

Kerajaan telah pun mengenal pasti 605 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai lokasi seperti stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai, universiti serta fasiliti yang bersesuaian.

Maklumat lanjut boleh didapati dalam Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan kami amat menggalakkan para pembaca untuk menelitinya. Pastikan anda mengikuti halaman media sosial rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) di Facebook dan Twitter untuk maklumat terpantas.

Kami juga akan terus mengemas kini artikel ini dengan setiap maklumat rasmi yang terbaru daripada kerajaan. Kongsi pendapat anda tentang artikel ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version