Site icon TechNave BM

Senangnya! Taip sahaja ‘meet.new’ di pelayar web untuk mulakan panggilan video Google Meet

Jika anda ingin membuat panggilan video bersama rakan-rakan sekerja dengan mudah dan ringkas tanpa sebarang pemasangan perisian, anda boleh taip sahaja “meet.new” di dalam pelayar web anda untuk memulakan panggilan video melalui Google Meet.

Sebaik sahaja penganjur memulakan panggilan video, beliau akan diberi sebuah pautan URL untuk dikongsikan kepada orang yang ingin terlibat dalam panggilan tersebut. Kami sudah pun mencubanya dan proses penggunaan “meet.new” ini adalah sangat ringkas dan mudah.

Ini adalah usaha terbaru daripada Google untuk mempromosikan perkhidmatan panggilan video Google Meet, selepas memperkenalkannya sebagai sebuah ciri baru dalam GMail dan menawarkannya secara percuma kepada semua pemegang akaun Google. Penggunaan panggilan video menaik mendadak sewaktu pandemik COVID-19 yang memaksa orang ramai untuk kekal di rumah dan bekerja secara dalam talian.

Tentunya ini adalah satu alternatif yang sangat menarik berbanding Zoom yang memerlukan pengguna untuk memuat turun dan memasang perisiannya sendiri. Beritahu kami di Facebook jika ini adalah sesuatu yang diidamkan oleh anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 9-to-5 Google

Exit mobile version