Site icon TechNave BM

Senarai produk baru yang akan dilancarkan Apple pada malam ini terbocor

Apple bakal menganjurkan majlis pelancaran khas pada malam ini jam 1:00 pagi waktu Malaysia, namun kini beberapa sumber di internet mendakwa sudah pun mengetahui terlebih dahulu senarai produk baru yang akan dilancarkan iaitu iPad Air 4th Gen, iPad 8th Gen, Apple Watch Series 6 dan Apple Watch SE.

Spesifikasi asas produk-produk tersebut turut diberikan oleh sumber tersebut. iPad Air generasi ini akan dilengkapi pemproses A14 yang baru, iaitu cipset yang mungkin akan terdapat dalam iPhone 12. Sementara itu, iPad pula akan dilengkapi pemproses yang lebih rendah iaitu A12X.

Sumber mengatakan Apple Watch Series 6 akan dilengkapi pemproses S4, namun itu mungkin adalah satu kesilapan memandangkan sebelum ini Series 5 mempunyai pemproses S5 dan Series 4 mempunyai S4. Jadi kita boleh andaikan Series 6 akan dilengkapi pemproses S6. Selain itu, nampaknya kita boleh jangkakan pengenalan Apple Watch SE pada tahun ini, mungkin akan dilengkapi spesifikasi yang lebih rendah daripada Apple Watch Series 6.

Adakah anda akan menonton Apple Event pada malam ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Evan Blass

Exit mobile version