Site icon TechNave BM

Senarai syarikat teknologi yang tawarkan bantuan pembaikian untuk mangsa banjir

Negara kita telah digemparkan dengan bencana banjir besar pada pertengahan bulan ini, di mana beberapa kawasan yang jarang dilanda banjir mengalami kenaikan paras air tinggi dan menyebabkan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.

Sungguh pun begitu, rakyat Malaysia bertindak meringankan beban mangsa banjir dengan menghulurkan sumbangan wang Ringgit, menyertai kerja-kerja pembersihan secara sukarela dan banyak lagi. Pada masa yang sama, beberapa syarikat teknologi dan elektronik juga menawarkan beberapa bentuk bantuan bagi membaiki barang yang rosak akibat banjir.

Dalam artikel ini, kami menyenaraikan senarai syarikat elektronik yang menawarkan pelbagai inisiatif untuk membantu mangsa banjir:

Acer – Pembaikian komputer percuma

Acer Malaysia akan menawarkan perkhidmatan membaiki komputer dan semua produk Acer secara percuma kepada mangsa banjir. Tawaran ini sah untuk semua produk Acer, tidak kira sama ada ia masih berada dalam jaminan (warranty) atau tidak.

Jika produk Acer itu tidak boleh dibaiki lagi, Acer menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk sebarang pembelian komputer atau komputer riba dalam laman web Acer Malaysia. Acer juga akan membaiki komputer jenama lain, namun pemilik komputer perlu membayar untuk perkhidmatan tersebut.

Sumber: Facebook

Celcom – Penukaran modem secara percuma

Pelanggan Celcom yang memiliki router AX atau modem wayarles rumah rosak akibat daripada banjir lalu, boleh menukarkan barang tersebut secara percuma.

Sumber: Facebook

OPPO – Diskaun untuk pembaikian atau pembelian produk baru

OPPO Malaysia menganjurkan kempen #OPPOCare4U di mana mangsa banjir yang memiliki peranti OPPO boleh membaiki peranti mereka dengan harga diskaun sebanyak 30 peratus. OPPO menjanjikan alat ganti yang tulen manakala kos buruh juga tidak perlu dibayar oleh pemilik peranti.

Pemilik peranti juga boleh memohon untuk menghantar peranti OPPO mereka menggunakan perkhidmatan kurier dengan diskaun penghantaran sebanyak 20%. Perkhidmatan ini akan ditawarkan sehingga 31 Januari 2022.

Samsung – Pembersihan dan pemeriksaan percuma

Samsung Malaysia pula akan menawarkan perkhidmatan pembersihan dan pemeriksaan secara percuma terhadap produk kelengkapan rumah yang terjejas akibat banjir.

Jika produk tersebut perlu dibaiki, pemilik tidak perlu membayar kos buruh bagi mengurangkan jumlah caj yang perlu dibayar. Perkhidamatan ini akan ditawarkan sehingga 31 Januari 2022.

Sumber: Samsung

TM – Penggantian barang secara percuma

Untuk kawasan rumah yang mengalami kerosakan pelbagai harta benda akibat banjir sebelum ini, TM menawarkan penggantian percuma untuk alat internet Peralatan Premis Pelanggan (CPE) yang rosak. Buat mereka yang memiliki kad SIM unifi Mobile, mereka boleh mendapatkan kad SIM baru secara percuma.

Selain itu, mereka juga telah memperuntukkan RM5 juta bagi mengecualikan caj langganan daripada bil mangsa banjir untuk tempoh dua minggu serta melanjutkan terma kredit selama 60 hari.

Sumber: Twitter

TNB – Rebat untuk bil elektrik Disember

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menawarkan rebat 100 peratus untuk bil elekrik bulan Disember kepada mangsa banjir. Rebat ini hanya akan ditawarkan kepada pengguna domestik dan tidak ditawarkan kepada pelanggan komersial seperti kilang.

Selain itu, TNB juga akan melakukan proses pendawaian elektrik di kediaman mangsa banjir secara percuma.

Sumber: Facebook

Senarai ini akan dikemas kini jika terdapat lebih banyak syarikat teknologi lain yang akan membantu mangsa banjir. Kongsi pendapat anda tentang senarai ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version