Site icon TechNave BM

Seorang lelaki hilang RM23,000 selepas ingin beli kad Touch ‘n Go NFC bernilai RM32

Seorang pegawai latihan vokasional di Jerantut, Pahang telah mengalami kerugian bernilai RM23,514 selepas beliau menjadi mangsa penipuan apabila ingin membeli kad Touch ‘n Go dengan teknologi NFC bernilai RM32 di internet.

Perkara ini berlaku pada 4 Januari 2023 apabila beliau terlihat iklan kad TnG NFC yang dijual di Facebook pada harga murah. Beliau kemudian menghubungi pihak yang membuat iklan tersebut iaitu seorang individu yang menyamar sebagai agen sah untuk menjual kad TnG NFC.

Kononnya, harga kad TnG NFC itu boleh dibeli sebanyak empat keping pada harga RM32. Mangsa kemudian menerima sebuah mesej dalam WhatsApp dengan sebuah pautan dan beliau klik pada pautan tersebut.

Selepas klik pautan itu, beliau mengisi maklumat penting seperti nombor akaun bank serta kata nama dan kata laluan untuk perbankan dalam talian bagi melengkapkan proses pembayaran.

Malangnya, tidak lama kemudian beliau sedar bahawa akaun banknya kini kosong. Pihak polis Pahang kini sedang menyiasat kes penipuan ini.

Dalam pada itu, ketua polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat turun sebarang aplikasi yang mencurigakan atau klik pada pautan yang dikongsi oleh orang yang tidak dikenali.

Selain itu, jangan kongsi maklumat bank dan maklumat peribadi kepada pihak ketiga yang tidak dikenali.

Sebelum ini, seorang wanita di Raub kehilangan RM21,399 selepas beliau terpedaya dengan penipuan melibatkan Touch ‘n Go eWallet. Modus operandi oleh penipu dalam kes ini serupa seperti yang dialami oleh lelaki dari Jerantut di atas.

TechNave berharap para pembaca akan kekal berhati-hati dengan lambakan kes penipuan dan scam yang berlaku sekarang. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: New Straits Times

Exit mobile version