Seorang rakyat Malaysia dilapor berbelanja sehingga RM70,000 di Shopee semasa jualan 11.11 pada 11 November 2020. Lebih menarik, jumlah perbelanjaan yang besar ini dibayar melalui satu transaksi pembelian sahaja, bukan dua atau tiga pembelian.
Menurut sumber, eksekutif Shopee menyatakan bahawa transaksi pembelian sehingga RM70,000 adalah jumlah yang terbesar dalam satu transaksi setakat ini di platform Shopee. Transaksi terbesar ini dilakukan dalam lapan jam pertama semasa jualan sedang berlangsung.
Tambah Shopee, kebanyakan rakyat Malaysia berbelanja untuk barangan rumah, barangan runcit, kesihatan dan kecantikan dalam jualan kali ini. Antara barangan yang laris adalah bahan pencuci, penggoreng kering (air fryer), pensanitasi tangan, robot pintar pembersih vakum, set peralatan memask dan makanan haiwan peliharaan.
Untuk kategori jenama, HUAWEI dilapor merekodkan jualan RM1 juta untuk MateBook D15 dalam masa 10 minit semasa jualan berlangsung.
Adakah anda salah seorang pembeli di platform Shopee semasa jualan 11.11? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Malaysian Reserve

