Site icon TechNave BM

Setel bakal benarkan anda lakukan bayaran di stesen minyak dengan Apple Watch

Setel, aplikasi pembayaran petrol daripada Petronas tidak lama lagi akan memperkenalkan ciri baharu yang akan memudahkan pembayaran jika anda memiliki Apple Watch. Semalam, mereka telah mengacah dengan tweet yang menunjukkan emoji Apple dan jam bersama-sama dengan perkataan “Stay tuned”.

Bayangan ini menunjukkan aplikasi Setel bakal bekerjasama secara rasmi dengan Apple Watch yang membolehkan anda membayar petrol terus daripada pergelangan tangan anda. Menurut tangkapan skrin bocor yang dikongsi di Twitter, pengguna berkemungkinan boleh memilih nombor pam serta kaedah pembayaran pada jam tangan.

Adalah lebih istimewa dan teruja jika aplikasi Setel akan muncul secara automatik pada Apple Watch anda jika ia mengesan bahawa anda berada di stesen Petronas. Kemungkinan ciri baharu itu akan diperkenalkan dengan kemas kini aplikasi mereka yang akan datang untuk iOS.

Pada masa ini, Setel ialah aplikasi pembayaran petrol yang paling mudah diakses kerana ia disokong di lebih 1,000 stesen Petronas di seluruh negara. Tidak perlu mengimbas kod QR atau leret kad kerana pembayaran boleh diselesaikan pada aplikasi sebelum anda terus mengisi minyak.

Anda juga boleh memaut atau mencipta kad Mesra dalam aplikasi supaya anda boleh memperoleh mata untuk setiap kali mengisi minyak. Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version