Setel kini memperkenalkan ciri baharu Pembayaran Bil dalam aplikasi untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai aplikasi harian bersepadu rakyat Malaysia dan bukan lagi sekadar platform pengisian minyak. Ciri baharu membolehkan pengguna membuat pembayaran pelbagai bil utiliti terus dalam aplikasi termasuk air, telekomunikasi dan jalur lebar.
Setakat pelancaran, ia menyokong integrasi dengan 25 penyedia bil utama termasuk Astro, CelcomDigi, Telekom Malaysia (TM), Air Selangor dan Indah Water Konsortium dengan lebih banyak rakan penyedia dijangka ditambah dari semasa ke semasa. Melalui fungsi ini, pelanggan boleh menguruskan bil isi rumah bulanan dengan mudah dan cekap.
Bagi memperkukuh penggunaan ciri baharu, Setel turut menawarkan kempen pulangan tunai 10% bagi setiap transaksi pembayaran bil tertakluk kepada had maksimum RM10 sebulan. Promosi ini berlangsung dari 18 Mei hingga 18 Julai 2026.
Setel menegaskan pelancaran ini adalah sebahagian daripada strategi memperluaskan ekosistem digitalnya melangkaui mobiliti dengan fokus kepada penyediaan perkhidmatan harian yang lebih menyeluruh termasuk parkir, pengecasan EV, insurans, takaful, pembaharuan cukai jalan serta pelbagai perkhidmatan dalam aplikasi.
Pendekatan baharu ini selari dengan evolusi permintaan pengguna yang memerlukan satu aplikasi tunggal untuk pelbagai urusan harian. Setel kini dilihat terus bergerak ke arah model super app dengan integrasi pelbagai perkhidmatan kewangan dan gaya hidup dalam satu platform.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk mencubanya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

