Site icon TechNave BM

Setel Lite dilancarkan, versi aplikasi lebih ringan dan hanya perlu sambungan internet asas

Setel memperkenalkan versi ringan dikenali sebagai Setel Lite yang mempunyai saiz muat turun yang lebih kecil, boleh digunakan pada peranti Android 4.4 atau EMUI 3 ke atas dan mampu berfungsi dengan sambungan internet yang perlahan seperti EDGE, 2G dan 3G.

Setel Lite masih boleh menggunakan Dompet Setel untuk membayar petrol, memperoleh sehingga 3x mata ganjaran Mesra dan menyemak mata ganjaran Mesra. Pengguna juga boleh menambah nilai Dompet Setel menggunakan wang tunai melalui e-baucar yang boleh dibeli di stesen PETRONAS di seluruh negara dan perbankan dalam talian.

Selain daripada muka aplikasi yang dipermudahkan, Setel Lite direka dengan fungsi utamanya dikekalkan iaitu pengisian petrol, pengumpulan dan penyemakan mata ganjaran Mesra serta mengekalkan ciri pembayaran Dompet Keluarga. Ia juga hadir dengan ciri ringkas dan butang aplikasi yang lebih besar supaya warga emas boleh menggunakannya dengan mudah.

Setel Lite boleh digunakan di semua stesen PETRONAS di seluruh negara. Pengisian petrol adalah ciri pertama yang diperkenalkan dalam versi ringan aplikasi Setel ini dan lebih banyak lagi ciri akan dilancarkan secara berperingkat kelak. Muat turun aplikasi Setel Lite melalui Google Play Store dan bakal tersedia pada Huawei AppGallery tidak lama lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai aplikasi ini, sila layari laman rasmi Setel di sini. Kongsi pendapat anda tentang khabar ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version