Shokz Malaysia hari ini melancarkan fon telinga wayarles gaya bone conduction yang dikhaskan untuk kegunaan sukan iaitu Shokz OpenRun Pro2. Ia dibina dengan bahan yang ringan, kukuh serta selesa dipakai bagi memudahkan pengguna memakainya dengan lebih lama.
Dengan rekaan bone conduction, ia tidak akan menutup telinga anda sepenuhnya seperti fon telinga konvensional, sebaliknya ia diletakkan sekitar cuping telinga supaya anda masih boleh mendengari keadaan persekitaran. Ini adalah amat penting buat para pelari atau pembasikal yang ingin mendengar muzik dan pada masa yang sama perlu peka dengan situasi trafik di sekeliling mereka.
Walaupun dengan rekaan bone conduction yang tidak menutup telinga, ia masih boleh menghasilkan pengalaman audio yang jelas dan berkualiti tinggi. Ia mempunyai teknologi DualPitch yang menggabungkan rekaan bone conduction serta pembesar suara air conduction supaya ia boleh menghasilkan bunyi mid dah high dengan tepat, serta bass yang terkawal.
Produk ini ditawarkan dalam dua saiz serta dua pilihan warna iaitu hitam dan jingga. Shokz menghasilkan warna jingga itu dengan kerjasama pelari maraton ternama Eliud Kipchoge yang telah dilantik sebagai duta antarabangsa Shokz. Jingga merupakan warna kegemaran beliau.
Baterinya boleh bertahan selama 12 jam daripada pengecasan penuh, dan pengecasan selama lima minit sahaja melalui kabel USB-C sudah cukup untuk penggunaan selama 2.5 jam. Dengan MultiPoint Pairing, ia juga boleh dihubungkan kepada dua peranti serentak.
Ia dihubungkan melalui Bluetooth 5.3 pada jarak sejauh 10 meter. Ia juga mempunyai rating kalis air IP55.
Shokz OpenRun Pro2 akan dijual di Malaysia pada harga RM899. Jika anda berminat untuk mencubanya, anda boleh hadirkan diri ke jerayawara Shokz di East Atrium, Mid Valley Megamall Kuala Lumpur sebelum 29 September. 50 pelanggan pertama yang mendapatkan fon telinga ini akan menerima hadiah bernilai RM400.
Anda juga boleh dapatkan diskaun sehingga 10% untuk produk-produk Shokz lain. Jika anda berminat untuk beli OpenRun Pro, Shokz akan menganjurkan promosi khas pada setiap hari sepanjang 24 hingga 29 September dalam dua sesi, iaitu pada 1:00 petang hingga 2:00 petang dan 6:00 petang hingga 7:00 malam. Dalam setiap sesi, 10 pelanggan boleh membeli OpenRun Pro pada harga promosi RM699 sahaja.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan OpenRun Pro2 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

