Platform e-dagang Shopee sekali lagi mengumumkan perubahan struktur yuran komisen untuk penjual di Malaysia dengan kadar baharu bakal berkuat kuasa mulai 21 Mei 2026. Ia dilihat memberi tekanan tambahan kepada peniaga atas talian yang sebelum ini sudah berdepan peningkatan kos operasi dan persaingan sengit dalam platform.
Menerusi semakan terbaharu oleh Shopee, kadar yuran komisen maksimum kini dinaikkan sehingga 17% berbanding had sebelumnya iaitu 16%. Namun, kadar sebenar yang dikenakan masih bergantung kepada kategori produk dan jenis penjual yang terlibat. Antara yang mencuri perhatian ialah kebanyakan kategori produk menerima peningkatan kadar komisen manakala kategori elektronik dilihat kekal tanpa perubahan buat masa ini.
Shopee juga mengatakan bahawa struktur caj berbeza mengikut program penjual serta kategori tertentu di platform berkenaan. Perubahan ini dijangka memberi kesan langsung kepada margin keuntungan penjual khususnya bagi peniaga kecil dan sederhana yang bergantung sepenuhnya kepada platform e-dagang untuk jualan harian.
Dalam masa sama, ada kemungkinan sebahagian penjual akan mula melaraskan harga produk bagi menyerap peningkatan kos tersebut. Bagi pengguna pula, perubahan mungkin akan memberi kesan tidak langsung terhadap harga jualan di platform dalam tempoh akan datang sekiranya penjual memilih untuk memindahkan sebahagian kos operasi kepada pembeli.
Shopee sebelum ini beberapa kali melakukan semakan semula terhadap struktur yuran dan caj platform termasuk yuran transaksi serta program sokongan penjual, sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh ekosistem e-dagang mereka di rantau ini.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Shopee

