ShopeePay kini memperkenalkan ciri Travel eSIM di dalam aplikasi mereka yang membolehkan pengguna kekal berhubung ketika melancong ke luar negara tanpa perlu menggunakan kad SIM fizikal. Antara destinasi yang disokong termasuk Thailand, Indonesia, Vietnam, Jepun, China dan Singapura.
Pengguna boleh membeli serta mengaktifkan eSIM terus melalui aplikasi ShopeePay sama ada sebelum atau ketika berada di luar negara. Perkhidmatan ini menawarkan pelan data sehingga 31 hari dengan harga bermula serendah RM3.50 menjadikannya pilihan yang lebih mampu milik untuk akses internet ketika melancong.
Proses pembelian juga disediakan secara terus dalam aplikasi di mana pengguna hanya perlu memilih destinasi, pelan data dan tempoh penggunaan sebelum menyelesaikan pembayaran. Selepas pembelian, eSIM boleh diaktifkan melalui beberapa kaedah termasuk pengaktifan terus dalam aplikasi, imbasan kod QR atau tetapan manual pada peranti.
Ciri Travel eSIM ini turut melengkapkan ekosistem perjalanan ShopeePay yang sedia ada termasuk tempahan penerbangan, hotel dan pembelian insurans perjalanan dalam satu platform. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Shopee

