Site icon TechNave BM

Signal, Facebook Messenger dan beberapa aplikasi pemesejan ada masalah keselamatan sama

Kumpulan pengkaji keselamatan siber Project Zero di Google telah mendapati bahawa beberapa aplikasi panggilan video yang popular seperti Signal, Facebook Messenger dan Google Duo mempunyai masalah yang ketara di mana penggodam boleh mengakses sebarang panggilan tanpa izin daripada pengguna aplikasi tersebut.

Dalam laporan bertarikh 19 Januari 2021, kajian tersebut dimulakan selepas aplikasi Group FaceTime mengalami masalah pepijat (bug) pada 29 Januari 2019 yang membenarkan penggodam untuk mengakses sebarang panggilan video. Project Zero mendapati pepijat yang sama terdapat dalam Signal, JioChat, Mocha, Google Duo dan Facebook Messenger. Dua aplikasi yang tidak mengalami masalah keselamatan ini adalah Telegram dan Viber.

Pepijat ini tidak memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi untuk disalahgunakan. Setakat Januari 2021, masalah tersebut sudah pun diselesaikan oleh kebanyakan aplikasi panggilan video yang terlibat namun Project Zero menyatakan kehadiran masalah yang sama dalam beberapa aplikasi panggilan video adalah amat merisaukan.

Project Zero pasti kebanyakan aplikasi ini masih mempunyai pepijat atau masalah keselamatan yang masih belum ditemui dan boleh disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Project Zero Google

Exit mobile version