Site icon TechNave BM

Sijil halal Malaysia kini diperoleh secara digital menerusi MYeHALAL

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan bahawa semua permohonan bagi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kini dijalankan sepenuhnya secara digital melalui platform MYeHALAL.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif pendigitalan sektor awam yang bertujuan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan serta mengurangkan kerenah birokrasi.

Dengan pelaksanaan sistem ini, pemohon yang berjaya akan menerima sijil digital (e-Sijil) yang boleh dicetak sendiri sekiranya diperlukan. Namun, bagi syarikat yang masih memerlukan salinan fizikal, permohonan rasmi perlu dikemukakan dan caj akan dikenakan mengikut Klausa 13 dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

Pendigitalan ini bukan sahaja mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan, malah menekankan inovasi, kecekapan dan modal insan. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat besar kepada para usahawan, industri makanan, farmaseutikal, kosmetik dan pelbagai sektor lain yang bergantung kepada pensijilan halal untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh melayari portal rasmi MYeHALAL. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version