Site icon TechNave BM

Siri Acer CA1 rasmi di Malaysia: Android terbina, bateri 3 jam dan kamera 8MP bermula RM2,699

Siri Acer CA1 direka khas untuk fleksibiliti penggunaan di rumah menerusi tapak pemegang ErgoStand berroda yang membolehkan skrin dialihkan ke mana-mana ruang dengan mudah. Monitor ini dilengkapi bateri terbina yang mampu bertahan sehingga tiga jam penggunaan tanpa perlu disambungkan kepada palam kuasa.

Ketinggian, kecondongan, dan orientasi skrin juga boleh dilaraskan mengikut keselesaan pengguna. Hadir dalam saiz 27 inci bagi CA271 dan 31.5 inci bagi CA321QK, kedua-dua model menggunakan panel VA dengan sudut pandangan luas. Siri ini menawarkan resolusi sehingga 4K UHD serta liputan warna DCI-P3 sehingga 85%.

Dikuasakan oleh platform Android, pengguna boleh mengakses platform penstriman seperti Netflix, YouTube dan perkhidmatan Google secara terus menerusi sokongan paparan sentuh sehingga 10 titik dan sambungan Wi-Fi. Selain itu, ia menyokong pemancaran skrin tanpa wayar daripada telefon pintar atau komputer pekena, penyambungan Bluetooth untuk papan kekunci, tetikus atau pembesar suara, serta boleh diintegrasikan ke dalam ekosistem rumah pintar IoT.

Bagi tujuan panggilan video, kamera 8MP terbina turut disediakan lengkap bersama penutup privasi fizikal. Bagi peminat permainan video, Acer turut memperkenalkan Predator X27U W2 yang menampilkan skrin QD-OLED 26.5 inci dengan resolusi WQHD. Monitor permainan ini menawarkan liputan warna 99% DCI-P3, kejituan warna Delta E kurang daripada 2, kadar penyegaran sehingga 240Hz, serta masa tindak balas 0.03ms.

Ia turut disokong oleh teknologi NVIDIA G-SYNC Compatible, sambungan HDMI 2.1, dan tapak ergonomik yang boleh dilaraskan. Acer CA321QK dijual pada harga RM3,499 dan boleh didapati serta-merta, manakala Acer CA271 ditawarkan pada harga RM2,699 secara prapesanan sehingga 30 September 2026.

Sementara itu, Predator X27U W2 dijual pada harga RM1,799. Pembelian mana-mana model siri CA1 atau Predator X27U W2 sebelum 30 September 2026 akan menerima monitor mudah alih Acer percuma tertakluk kepada stok. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version