Site icon TechNave BM

Siri Acer Swift, Aspire dan Chromebox 2023 diumum, miliki Intel Core 13th dan perkakasan terkini

Acer hari ini mengumumkan komputer riba model baharu untuk siri Acer Swift, Aspire dan Chromebox. Terdapat juga komputer peribadi (PC) dalam siri ini. Semua spesifikasi yang terdapat dalam peranti ini dilengkapi dengan perkakasan terkini dan canggih. Berikut adalah senarai komputer riba dan PC yang telah diumumkan oleh Acer dalam acara Consumer Electronics Show (CES) 2023.

Acer Swift Go 16″ dan 14″

Swift Go 16 (SFG16-71) dan Swift Go 14 (SFG14-71) baharu mempunyai paparan OLED dengan kadar segar semula sehingga 120Hz, kecerahan puncak 500-nit, julat warna 100% DCI-P3, pengiktirafan VESA DisplayHDR True Black 500 dan pensijilan paparan TÜV Rheinland Eyesafe. Swift Go menyokong SSD PCIe Gen 4 sehingga 2TB dan RAM LPDDR5 sehingga 16GB.

Swift Go 14 membawakan paparan 2.8K OLED 14 inci dengan resolusi 2880×1800 manakala Swift Go 16 mempunyai paparan OLED 3.2K OLED 16 inci dengan resolusi 3200×2000. Dilengkapi cipset Generasi ke-13 Intel Core H-series dan disahkan sebagai laptop platform Intel Evo, Swift Go 16 dan Swift Go 14 memberikan prestasi terbaik dan ketahanan bateri melebihi 9.5 jam.

Laptop ini juga disertakan dengan Intel Unison yang membolehkan pengguna menyambungkan PC kepada peranti Android atau iOS dengan mudah. Kedua-duanya juga menampilkan sistem dwi-kipas TwinAir, paip haba tembaga dwi D6 dan papan kekunci dengan lubang udara yang mengeluarkan haba bagi mengekalkan suhu sejuk.

Acer Swift Go mempunyai sambungan USB-C dengan Thunderbolt 4, HDMI 2.1, Wi-Fi 6E dan pembaca kad MicroSD. Laptop Swift Go juga mempunyai ciri video PurifiedView, kamera web 1440p dengan Pengurangan Noise Temporal (TNR) dan dipadankan dengan teknologi Acer PurifiedVoice untuk suara yang lebih berkualiti.

Acer Swift X 14

Swift X 14 (SFX14-71) dilengkapi cipset Generasi ke-13 Intel Core H-series dan GPU NVIDIA GeForce RTX 4050, penarafan NVIDIA Studio dan dioptimumkan dengan Pemacu NVIDIA Studio pra-pasang membolehkan pengguna melakukan lebih banyak tugasan apabila berkolaborasi dengan aplikasi-aplikasi kreatif lain.

Ia hadir dengan paparan 2.8K OLED 14 inci, kadar segar semula 120Hz, julat warna 100% DCI-P3 dan mempunyai penarafan VESA DisplayHDR TrueBlack 500 serta kecerahan puncak 500 nit. Terdapat juga kamera web QHD 1400p dan Acer PurifiedView serta PurifiedVoice dengan Pengurangan Bunyi AI. Untuk bahagian sambungan, ia memiliki dwi USB-C, HDMI 2.1 dan pembaca kad MicroSD.

Acer Swift 14

Swift 14 (SF14-71T) dilengkapi cipset Generasi ke-13 Intel Core H-series dan disahkan Intel Evo. Baterinya menawarkan hayat penggunaan lebih daripada 9.5 jam. Swift 14 menyerlahkan badan unibody yang ringan dan nipis yang diperbuat daripada CNC. Ia juga mempunyai kemasan aluminium gred aeroangkasa yang didatangkan dengan warna Mist Green serta Steam Blue.

Swift 14 menampilkan reka bentuk kemasukan udara dengan sistem dwi-kipas TwinAir dan paip haba tembaga D6 untuk kawalan suhu. Acer Swift 14 menawarkan dua pilihan paparan skrin sentuh 14 inci yang cantik iaitu WQXGA (2560×1600) atau WUXGA (1920×1200). Kedua-duanya dilindungi dengan Antimikrobial Corning Gorilla Glass.

Tambahan, ianya memiliki kamera web QHD 1440p dengan teknologi TNR, PurifiedVoice dan dwi pembesar suara DTS Audio. Windows Hello membolehkan pengguna membuka laptop dengan pengimbas cap jari dan terdapat sambungan port USB-C Thunderbolt 4 dan port HDMI 2.1.

Siri PC semua-dalam-satu Acer Aspire S

PC all-in-One Aspire hadir dengan versi 32 inci bersama cipset generasi ke-13 Intel Core i7-13700 dan grafik Intel Arc A-Series. Manakala model 27 inci dilengkapi dengan cipset generasi ke-12 Intel Core i5 dan i7 serta grafik Intel Iris Xe.

PC ini juga mempunyai paparan WQHD dengan dua pembesar suara yang mempunyai ciri DTS Surround. Dengan perisian pengimbas wajah EyeSens Acer dan cap jari Windows Hello, keselamatan biometrik tanpa kata laluan untuk akses peranti Windows 11 adalah lebih mudah dan selamat.

Acer Aspire 5

Barisan Acer Aspire 5 menampilkan cipset generasi ke-13 Intel Core digandingkan dengan GPU NVIDIA GeForce RTX 2050. Siri Aspire 5 juga dilengkapi dengan RAM DDR4 sehingga 32GB dan M.2 SSD sehingga 1TB. Ia juga menggunakan paparan IPS FHD dengan aspek ratio 16:10 dan bezel nipis untuk resolusi 1080p/1440p.

Kamera web 1080p FHD dan mikrofon digitalnya menggunakan teknologi Pengurangan Noise Temporal (TNR) dan PurifiedVoice. Aspire 5 kekal sejuk menerusi ciri TwinAir Cooling dan papan kekunci dengan ruang untuk pengudaraan. Ia mempunyai sambungan USB-C, Thunderbolt 4 port, Wi-Fi 6E dan HDMI 2.1.

Acer Aspire 3

Siri Aspire 3 Acer adalah komputer riba mampu milik dan mudah digunakan untuk fungsi berbilang tugas yang praktikal. Ia dilengkapi dengan cipset siri Intel Core i3-N, skrin FHD 1080p dan teknologi BlueLightShield Acer.

Ciri ini mengurangkan pancaran cahaya biru untuk membantu meminimumkan keregangan mata. Semua model ini dilengkapi dengan port USB-C, port HDMI 2.1 dan Wi-Fi 6E. Barisan Aspire 3 direka bentuk untuk lebih ringan dan nipis dengan berat hanya 1.6 kg serta ketebalan bersaiz 18.9 mm.

Acer Chromebox CXI5 dan Acer Chromebox Enterprise CXI5

Menggunakan sistem operasi ChromeOS, Chromebox CXI5 dilengkapi cipset Generasi ke-12 Intel Core i7 yang menyokong Platform Intel vPro dan boleh ditempatkan di mana-mana dengan kit mount VESA. Acer Chromebox Enterprise CXI5 menawarkan mod penggunaan kuasa yang rendah dan keupayaan pengecasan yang cekap.

Dilengkapi dengan Chrome Enterprise Upgrade, Acer Chromebox Enterprise CXI5 direka bentuk untuk memenuhi permintaan IT syarikat perniagaan serta peranti pintar ini turut disertakan dengan sokongan pentadbir IT 24/7 melalui Google Admin Console.

Acer Chromebox CXI5 dan Acer Chromebox Enterprise CXI5 mempunyai sambungan empat port USB-A 3.2 Gen 2, dua port USB-C 4 Gen 3, HDMI 2.1 dan menyediakan teknologi USB degan pemindahan data pada kelajuan sehingga 40 Gpbs. Terdapat juga sambungan Wi-Fi 6E (Gig+) dan RJ45 2.5G Gigabit Ethernet (2.5GbE).

Acer Add-In-One 24

Add-In-One 24 baharu daripada Acer menampilkan reka bentuk modular yang terdiri daripada Acer Chromebox CXI5 atau Chromebox Enterprise CXI5 yang boleh disambung kepada monitor FHD 1080p 24 inci.

Ia juga hadir dengan kamera web ultra lebar 5MP 115 darjah, dwi-mikrofon dan dwi-pembesar suara 4-watt. Paparan ini memanfaatkan panel IPS premium dengan bezel yang nipis. Monitor boleh dilaras antara 5 hingga 25 darjah dan mempunyai salutan anti-silau.

Setakat ini, Acer masih belum memberikan apa-apa maklumat mengenai keberadaan semua komputer riba ini di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version